Wahai sahabatku,
Cinta itu letaknya di hati dan hati itu milik Allah. Tidak mungkin
kita dapat menyentuh hati seseorang tanpa izin Allah dan jika Allah
tidak mengkehendaki. Tidak patut kita serahkan hati kita yang dimiliki
Allah itu kepada orang lain untuk dikuasai atau diperintah. Bahkan
memang sepatutnya kita serahkan jiwa dan raga kita seluruhnya kepada
Allah. Adapun rasa cinta yang lahir sesama manusia itu hanya jalan
menuju cinta Allah. Janganlah sekali-kali kita menukarkan tujuan cinta
di hati yang sepatutnya untuk Allah kepada manusia hanya kerana kita
dapat melihat kecantikan manusia dan kita tidak dapat melihat Allah,
kita cuma merasa dan melihat kecantikan segala ciptaan-Nya. Kita lupa
dan selalu tidak sedar hakikat segala kecantikan itu adalah milik
Allah. Jadikanlah cinta kepada manusia itu sebagai jalan menuju Tuhan,
bukan matlamat dan pengakhiran destinasi cinta. Maka engkau akan
lebih tenang menerima segala penolakan.
Wahai sahabatku,
Hati kita meronta untuk mencintai dan dicintai. Alangkah remuk
redamnya hati tatkala apa yang kita cintai tidak kita miliki. Alangkah
kecewanya jiwa tatkala cinta kita tidak dibalas oleh orang yang kita
cintai. Ternyata hati itu bukan milik kita, ia milik Allah. Kita tidak
bersalah tatkala cinta itu lahir terhadap seseorang, tetapi kita
keterlaluan tatkala kita memaksa ia kepada seseorang. Bukankah
sepatutnya kita redha dengan ketentuan Allah yang tidak menumbuhkan
cinta terhadap kita di hati orang yang kita cintai? Alangkah zalimnya
kita tatkala kita tidak dapat menerima apa yang telah ditetapkan oleh
Allah. Sedangkan saban hari kita sering tidak menghargai cinta Allah,
kita tidak pula membalas segala anugerah cinta yang Allah berikan
kepada kita pada setiap hembusan nafas, pada setiap detik kehidupan
yang kita lalui. Bukankah Allah lebih layak untuk murka kepada kita
kerana kita tidak membalas-Nya dengan ketaatan yang sepatutnya?
Wahai sahabatku,
Allah menjanjikan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.
Yakinlah akan janji Allah, sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji.
Perbaikilah setiap inci kehidupanmu agar engkau termasuk di kalangan
orang yang beroleh pasangan yang baik. Allah tahu tentang dirimu lebih
daripada engkau sendiri. Maka Allah telah menetapkan untukmu lebih
baik daripada apa yang engkau kehendaki. Boleh jadi engkau cintakan
sesuatu tetapi ia buruk bagimu dan begitu juga sebaliknya. Pada setiap
persimpangan kehidupanmu, apakah engkau merasakan bahawa Allah tiada
bersamamu? Bahkan dia sentiasa mendengar dan melihatmu. Persoalannya,
apakah engkau sudah merintih pada-Nya, meminta pada-Nya dan
memperlihatkan apa yang sepatutnya kepada –Nya? Aku berlindung dengan
Allah daripada menjadi hamba yang kufur dan lupa diri.
Wahai sahabatku,
Sungguh cinta itu telah menjadi faktor yang dapat mengubah sesuatu
kepada lebih baik atau sebaliknya. Ada manusia biasa yang berubah
menjadi wali kerana kuasa cinta, dan ada pula yang bisa menjadi hina
kerana dikuasai cinta. Ya, tamadun itu berkembang dan boleh jadi
hancur kerana cinta. Tidakkah engkau melihat Taj Mahal yang terbina
kerana cinta? Sebaliknya, ada pula yang membunuh kerana cinta.
Persoalanku kepadamu, apakah engkau ingin berubah kerana cinta ke arah
Redha Allah atau mungkin lebih jauh daripada Allah?
Wahai sahabatku,
Aku tidak mengatakan bahawa aku mengetahui segala isi hatimu atau
segala kekacauan yang mengisi jiwamu. Aku cuma ingin berpesan agar
engkau tidak meletakkan keinginanmu lebih tinggi daripada ketentuan
Allah. Aku ingin engkau mengerti bahawa milik Allah lah segala
kejadian. Kemudiannya aku ingin engkau membawa kefahaman tersebut
kepada pengamalan dalam kehidupan yang kau lalui agar ia hidup
bersamamu di dalam setiap inci kehidupan. Janganlah engkau mengatakan
bahawa engkau mentaati Allah di saat hidupmu bergelumang dengan
jahiliah. Aku juga sepertimu, anak muda yang bergelora jiwanya. Maka
aku berpesan kepadamu agar aku juga dipelihara Allah daripada segala
penyelewengan dalam memahami hakikat cinta. Aku memohon keampunan
kepada Allah atas segala kesalahan yang kuungkapkan dan kumohon kau
doakanlah kebahagiaanku di dunia dan di akhirat. Moga kita
dipertemukan Allah untuk hidup di syurga yang kekal selama-lamanya.
Wahai sahabatku yang kecewa,
Bersabarlah…
by : muslimah
Minggu, 20 Januari 2013
Sahabatku yang kecewa.....
02.28
No comments
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
0 komentar:
Posting Komentar